Invest Kedah Berhad melalui Encik Noor Ikhsan bin Abdul Aziz, Ketua Pegawai Operasi, telah mengiringi YB Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah, yang telah merasmikan Majlis Pecah Tanah LB Advanced Material Asia Sdn. Bhd. pada 24 September 2026 di Gurun Heavy Industrial Park, Kedah.
Turut hadir Ms. Xu Ran, Pengerusi LB Group; Mr. Liu Ming Hui, Pengerusi China Gas; Mr. Sun Liang, Pengarah LB Advanced Material Asia Sdn. Bhd.; Puan Surayu Susah, Pengarah Eksekutif Pembangunan Pengilangan (Sumber), MIDA; serta Encik Mohamad Hilmi bin Marzuki, Setiausaha MPSPK, bersama wakil agensi Kerajaan, rakan perniagaan dan pihak berkepentingan.
LB Advanced Material Asia Sdn. Bhd. merupakan sebahagian daripada LB Group, antara pengeluar utama titanium dioksida dunia mengikut kapasiti, dengan rantaian nilai daripada bahan mentah berasaskan titanium sehingga penghasilan titanium dioksida dan span titanium.
Bagi Invest Kedah, pelaburan ini merupakan satu lagi perkembangan penting yang mencerminkan keyakinan komuniti pelabur terhadap Kedah sebagai destinasi pelaburan yang strategik, di samping memperkukuh landskap perindustrian dan ekosistem pembuatan negeri.
Pelaburan ini dijangka memberikan limpahan ekonomi kepada Kedah melalui kira-kira 300 peluang pekerjaan, selain membuka peluang pembangunan bakat, latihan industri serta penglibatan syarikat Kedah, PKS dan penyedia perkhidmatan tempatan dalam rantaian bekalan projek.
Invest Kedah Berhad akan terus komited dalam memudah cara pelaburan berimpak tinggi serta memperkukuh hubungan antara pelabur, agensi kerajaan dan pemain industri tempatan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan ekosistem industri Negeri Kedah.